Kongsi Rumah Dengan Jin....?




Ada ‘entiti’ jin mendiami ruang yang sama dihuni oleh manusia. Sejauh manakah tolak ansur itu boleh diterima?PERTEMUAN dengan pemilik sebuah kediaman banglo di Ampang, Selangor ini diletakkan syarat. Pemilik yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah tidak mahu gambarnya atau kediamannya diambil dan disiarkan.



Mungkin sukar pada mulanya untuk wartawan Jurnal mendalami situasi sebenar, namun kerana menghormati privasi Asmah, cukup sekadar mendengar cerita yang sudi dikongsinya.

Begitupun, kami dibenarkan berdiri di pekarangan rumahnya sebentar untuk mencatatkan apa yang perlu, sebelum perbualan dilanjutkan di tempat lain.

"Rumah itu bukan hanya dihuni oleh enam orang ahli keluarga saya. Sejak mendiaminya 11 tahun lalu, kami menyedari tentang kehadiran satu 'keluarga' lagi.

"'Mereka' tinggal di sudut dan bahagian tertentu," ujar wanita berusia 42 tahun itu tentang banglo lima bilik yang ditawarkan harga menarik oleh ejen hartanah itu.

Tanpa riak resah atau takut, Asmah bercerita dalam nada mendatar. Menurutnya, dia tidak berbangga pun kalau ada yang mengatakan betapa mereka sekeluarga boleh menyesuaikan diri dengan keanehan dalam rumah itu selama ini.

"Kerapkali selepas tengah malam ketika kami tidur, pelbagai bunyi pelik kedengaran. Bunyi seperti orang mandi di bilik air atau memasak di dapur di tingkat bawah," terangnya. Katanya, setiap dia kali turun memeriksa, pasti dia menemui petunjuk tentang kedudukan barangan yang sedikit berubah.

Bagi ibu kepada empat cahaya mata itu, kejadian berulang seperti itu pernah membuatkannya ingin segera berpindah. Namun, ada saja yang mempengaruhinya agar melupakan hasrat itu.

"Suami saya sibuk dengan bisnes. Dia cuba memahami keadaan tetapi tidak mengambil serius tentangnya. Dia selalu merasionalkan saya dengan penjelasan bersifat logik. Saya tidak menyalahkannya," luah Asmah.




Bagaimanapun, Asmah tidak tahu bagaimana hendak menerangkan tentang aduan anak bongsunya mengenai kelibat budak lelaki dan perempuan sebayanya di dalam rumah.

"Saya sekadar memujuk anak-anak dengan mengatakan ia sekadar khayalan, tapi macam mana dengan alat permainan anak saya yang kerap hilang dan muncul semula ataupun beralih kedudukan dari tempat simpanannya?" katanya.

Lengan tanpa tubuh

Suri rumah sepenuh masa yang secara sambilan meminati seni membuat kraf perkahwinan itu pernah dikejutkan dengan insiden paling menakutkan.

Ketika dia leka menyiapkan perhiasan hantaran pada lewat malam, dia yang bersendirian pada waktu itu tiba-tiba tersentak dengan 'sesuatu' di hadapannya yang turut membantu menggubah hantaran.

Percaya atau tidak, benda yang 'membantu' itu hanyalah sepasang lengan tanpa tubuh!

"Memang pada mulanya saya trauma dan kami tidak senang duduk. Tapi, makin lama saya dapati ia tidak mengancam keselamatan kami.

"Lebih penting lagi, ia langsung tidak menjejaskan perkembangan anak-anak dan juga pembelajaran mereka. Kini saya sekadar berwaspada," kata Asmah.

Asmah telah merujuk kejadian misteri itu kepada pakar terapi minda daripada Aura Syifa' Malaysia, Nor Azizan Abdul Majid. Nor Azizan yang dihubungi di pejabat Airborne Discovery memberitahu sudah banyak kes yang dilaporkan tentang ruang yang dikongsi antara manusia dan jin atau disebut 'entiti'.

Menurut Nor Azizan, 'entiti' juga hidup secara bermasyarakat dalam dunia mereka, dan ia melakukan apa yang manusia lakukan. Namun, manusia tidak dibukakan hijab untuk melihat alam tersebut.

"Berkenaan penghuni rumah yang hidup bersama 'entiti' ini, penghuni rumah itu dinasihatkan supaya tidak bersahabat dengan makhluk ghaib walaupun entiti itu tidak mengganggu keluarga tersebut secara fizikal," pesan beliau yang turut mengingatkan pemilik rumah itu agar sentiasa memulihkan keyakinan terhadap Allah.

Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Menghalusi maksudnya, kata Nor Azizan, perhubungan antara manusia dengan jin lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.






Nor Azizan khuatir jika wujud perhubungan ia membuka jalan kepada manusia untuk dikelirukan oleh 'entiti' agar tidak meyakini Allah sepenuh hati.


Lama-kelamaan manusia boleh terpesong akidah, misalnya dengan mengharapkan bantuan 'entiti' bagi sesuatu perkara dan bukan lagi meminta pertolongan dan perlindungan Allah.


"Dalam al-Quran ada menyebut, di mana ruang tinggal manusia, tidak boleh ada jin. Maka, 'entiti' dalam rumah itu sebaik-baiknya perlu dipindahkan. Sebenarnya, tiada konsep rundingan antara manusia dengan jin.


"Ramai ahli paranormal hari ini yang bertolak ansur pada permintaan 'entiti'. Sedangkan manusia perlu bertegas agar 'entiti' meninggalkan ruang tempat tinggal manusia dengan sendirinya," kata Nor Azizan.-sabahkini

Kalau Nak Jadi Kuli..Jadilah Kuli Allah

JADILAH KULI ALLAH, BUKAN KULI SYAITAN

”Jangan jadi kuli kecuali menjadi kuli Tuhan. Jangan makan gaji selain makan gaji dengan Tuhan. Sebagaimana kita bila makan gaji - dengan orang ke, dengan kerajaan ke, dengan kompeni ke, dengan orang kampung ke - tentulah kita kena buat mengikut apa yang majikan kita hendak


walaupun kita sendiri berasa payah, berasa lambat kalau ikut kehendak majikan kita. Tetapi kerana, kita makan gaji, kita kena buat serupa dengan tuan kita hendak. Kita dengan Tuhan kena lagu itu juga. Bila Tuhan kata Aku hendak kamu buat lagu ini - payah ke, susah ke, terkepit ke, sakit ke kamu kena buat juga sebab kamu makan gaji dengan Aku. Kalau kamu tidak hendak makan gaji dengan Tuhan, kamu hendak makan gaji dengan siapa lagi? Sudah pasti kamu makan gaji dengan syaitan. Tidak ada sebab kita hendak makan gaji dengan syaitan kerana syaitan tidak buat kita, syaitan tidak buat bumi tempat kita berpijak, tidak buat langit tempat kita junjung, tidak buat udara untuk kita bernyawa, tidak buat sedikit apapun. Jadi tidak ada sebab kita hendak makan gaji selain dengan Allah taala”

”Makan gaji dengan manusia dia bayar dengan duit tetapi makan gaji dengan Tuhan dia bayar dengan syurga, bila mati baru boleh terima gaji. Sebab itulah kita bersembahyang, kita berpuasa, kita bersedekah, kita mengajar, kita mengaji walaupun kadang-kadang benda-benda ini dirasakan serabut dan menyusahkan. Mengapa menyusahkan diri dengan sembahyang, padahalnya yang tidak sembahyang ramai yang boleh hidup? Jawabnya, oleh kerana aku makan gaji dengan Tuhan, aku kena turut kehendak Tuhan”

Paderi Jerusalem: Mari Bela Al-Aqsa

Seorang Uskup di Jerusalem yang bernama Atallah Hanna yang juga merupakan salah satu tokoh Kristian Ortodoks Rom Jerusalem mendesak semua gereja di dunia untuk membantu membela Masjid Al-Aqsa dari serangan Israel.

Uskup Agung Atallah Hanna menyerukan kepada seluruh semua umat Islam dan Kristian untuk bersatu dalam rangka mencegah serangan dan penodaan terhadap Masjid Al Aqsa.


Seruan ini datang setelah pasukan khusus Israel menyerang Masjid Al-Aqsa di wilayah pendudukan Jerusalem Timur, dengan menembakkan peluru karet dan tabung gas air mata.


Hanna mengatakan dalam sebuah pernyataan, "Kami menyerukan semua gereja Kristian di dunia untuk berdiri menentang tindakan Israel terhadap Al Aqsh dan tindakan diskriminatif terhadap saudara-saudara Muslim kami di Palestin."
Dinyatakan olehnya bahwa orang umat Kristian Palestin juga mesti melindungi tempat-tempat suci umat Islam, Hanna kemudian berkata "Kami, sebagai orang Kristian di Palestin,akan melihat setiap serangan terhadap tempat-tempat suci umat muslim sebagai serangan terhadap tempat suci kami juga. Kami berdiri dengan Masjid Al Aqsa, dan kami sangat mengutuk pengepungan dan serangan-serangan yang dilakukan oleh Israel terhadap Masjid Al Aqsha."
Hanna juga mengatakan bahawa Israel berusaha untuk menghancurkan semua tempat suci, kecuali tempat suci umat yahudi, sembari mengingatkan bahawa Israel sebelumnya juga pernah menyerang gereja Ortodoks Rom.
Kerana larangan dari zionis Israel, warga Palestin tidak boleh masuk ke dalam kompleks Masjid Al Aqsa. Warga Palestin, tidak boleh melaksanakan solat di dalam masjid, seruan azan dan solat pun terpaksa mereka lakukan di luar masjid.
Warga Palestin melaksanakan solat Zuhur di dinding luar masjid Al-Aqsha.(fq/wb)

Pandangan Mata Hati Imam Syafi'i

Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan 'berpatah arang' dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka. Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa.



Imam Syafi'i misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafi'i masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?

Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafi'i berkata, "Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi. Tumpuan sepenuh hati ku sekarang ialah menuju Allah!"

Demikian 'orang tua' yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati.

Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafi'i tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat "pengingat " seperti beliau, sebaliknya sibuk mencari tongkat "penggiat" - Tongkat Ali!

Khalisah Abirah

“Subhanallah, anak puan anak yang solehah! Bertuah puan dapat anak macam Khalishah,” puji Puan Latifah kepada Puan Saidah. Puan Latifah telah mengasuh anak Puan Saidah sejak anaknya masih kecil lagi. Kanak-kanak berusia 6 tahun itu yang baik akhlaknya menyebabkan Puan Latifah berasa begitu senang hati. Itulah kisah Khalishah Abirah kira-kira 15 tahun yang lalu. Hasil pentarbiyyahan ummi dan walidnya telah berjaya mentakwinkan Khalishah Abirah untuk menjadi seorang muslimah seindah namanya iaitu kemurnian yang wangi. Sifat-sifat mahmudah yang telah menghiasi peribadi Puan Saidah seolah-olah sedang diwarisi oleh Khalishah Abirah yang sedang meningkat dewasa. Qudwah hasanah yang selalu ditunjukkan oleh Puan Saidah menyebabkan Khalishah Abirah sangat mengagumi kewibawaan umminya sebagai seorang wanita bekerjaya dan ibu yang solehah pada masa yang sama.

Kini, Khalishah Abirah merupakan seorang mahasiswi. Walaupun Khalishah Abirah tinggal berjauhan dengan keluarga, namun dia pandai menjaga diri. Setiap pagi, Khalishah Abirah akan memastikan dirinya mandi terlebih dahulu sebelum mengerjakan qiamullail dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau kolej kediamannya. Khalishah Abirah yakin bahawa Islam dibina atas kebersihan. Allah SWT telah berfirman, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah! Dan pakaianmu bersihkanlah! Dan segala yang keji tinggalkanlah,” (Al-Muddathir: 1-5). Khalishah Abirah tidak pernah membiarkan biliknya dalam keadaan yang tidak terurus. Katilnya sentiasa dikemaskan. Buku-buku di atas meja disusun dengan teratur serta pakaiannya digantung serta dilipat satu persatu. Khalishah Abirah berbeza daripada rakan-rakannya yang lain. Khalishah ingat akan pesanan umminya bahawa, “Sikap suka bertangguh adalah pencuri masa.” Lagipun, bagi Khalishah Abirah sikap tersebut tidak melambangkan keperibadian seorang muslim yang sebenar. Sabda Rasulullah SAW, “Kesucian merupakan sebahagian daripada iman,” (Hadis Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan pakaian merupakan sebahagian daripada iman, lalu bagaimana pula tentang mereka yang melonggokkan pakaian berhari-hari untuk dibasuh kemudiannya? Adakah mereka sempat berfikir bahawa sikap tersebut akan melenyapkan sebahagian daripada iman mereka?



Selain sibuk menunaikan tanggungjawab di medan ilmu, Khalishah Abirah tidak ketinggalan untuk menyertai Harakah Islamiyyah di kampus. Khalishah Abirah yakin bahawa tugasnya dalam menuntut ilmu dan akhirnya berijazah bukanlah alasan baginya untuk meninggalkan jamaah yang sememangnya sunnah Rasul Junjungan yang mulia. “Wah, Khalishah! Kenapa rajin ni?”, usik Hafiyyah tatkala dia sedang menyapu lantai di makmal. “Takdelah, biasa je. Kalau tak sapu lantai, tak tau pula nak buat apa,” kata Khalishah Abirah merendah diri. “Bagus, macam makcik tu kan?” tambah Raihanah. “Astaghfirullahal‘azim…”, bisik hati kecil Khalishah Abirah tatkala mendengar ucapan itu. Namun, Khalishah Abirah tetap tersenyum manis kepada kedua-dua sahibahnya. Mungkin mereka tidak sedar akan kata-katanya itu walaupun mereka sebenarnya berada dalam satu jamaah. Walau apapun, Rasulullah SAW pernah bersabda dan mengingatkan umatnya bahawa, “Iman itu terdiri atas lebih 70 cabang. Yang paling tinggi adalah mengucapkan Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan,” (Hadis Riwayat Bukhari). Khalishah Abirah sangat mengambil iktibar daripada peringatan Rasulullah SAW tersebut lalu berusaha mentajdidkannya di dalam diri. Kebaikan yang kecil tidak seharusnya dipandang remeh malah kerja-kerja pembersihan merupakan suatu ibadah yang mulia di sisi Allah SWT. Ya Allah, betapa mulianya pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembersihan! Saban waktu mereka memastikan kebersihan dan selama itulah mereka sebenarnya memperbaharui dan meningkatkan iman! Allahuakbar! Bukankah Allah itu cantik dan suka akan kecantikan dan keindahan? Ustaz KH. Abdullah Gymnastiar menyarankan formula 3M untuk seseorang itu berubah dan melakukan pengislahan diri. Mulakan dengan diri sendiri, mulakan dengan perkara yang kecil dan mulakan pada saat sekarang. Dengan itu, perkara yang dianggap kecil sebelum ini sudah tentu akan menjadi suatu perkara yang besar jika kita benar-benar ingin membawa agama Allah di muka bumi!

Sejak kecil lagi, walid Khalishah Abirah yang merupakan seorang mudir di salah sebuah sekolah agama rakyat, Ustaz Ahmad Taqiyuddin Salleh sentiasa menasihati Khalishah Abirah tentang bahayanya mulut. Disebabkan mulutlah, banyak perselisihan dan pergaduhan terjadi. Oleh itu, Khalishah Abirah sentiasa berhati-hati ketika bermuamalah dengan sahabat dan sahabiahnya. Khalishah Abirah berusaha agar menjadikan diamnya adalah berfikir dan kata-katanya pula adalah berzikir kepada Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi ada menyebutkan “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah yang paling layak untuk dirinya.” “Mengapa Khalishah nampak lain je hari ini?”, tegur Hafiyyah setelah lama tidak berjumpa dengan Khalishah Abirah sejak cuti semester baru-baru ini. “Ye lah, Khalishah nampak macam berisi sikit,” tambah Raihanah. “Ye ke? Alhamdulillah ana sihat je,” balas Khalishah Abirah penuh hikmah. Mutiara kata oleh Professor Dr. Hamka sentiasa diingati oleh Khalishah Abirah bahawa, “Perbuatan baik yang dibalas baik ialah biasa. Perbuatan jahat yang dibalas jahat ialah biasa tetapi perbuatan jahat yang dibalas baik ialah luar biasa. Itulah budiman.” Rentetan itulah, Khalishah Abirah tidak pernah membalas perkataan jelek yang dihemburkan kepadanya. “Ya Allah, berikanlah mereka hidayah-Mu,” doa Khalishah Abirah setiap kali diuji dengan makhluk-Nya. Sepatutnya setiap orang muslim harus menyedari akan hakikat mulut yang dianugerahkan oleh Allah disebabkan mulut boleh menjadi penyebab bahagia atau sengsaranya seseorang di hari pembalasan kelak sebagaimana doa Rasulullah SAW, “Aku memohon syurga kepada-Mu dan apa yang dapat mendekatkanku ke sana berupa perkataan atau perbuatan dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang dapat mendekatkanku ke sana berupa perkataan atau perbuatan…” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban).

“Assalamu’alaikum” ucap seorang muslimah. “Wa’alaikumussalam,” jawab ringkas salah seorang muslimah lain yang duduk berhampiran lalu meneruskan perbualan bersama sahabiahnya. Muslimah yang datang keseorangan itu lalu mengambil tempat bersebelahan dengan jamaah muslimat yang sedang rancak berbual itu dengan harapan agar mereka dapat saling berta’aruf dan berukhwah. Malangnya, sekumpulan jamaah muslimat itu tidak menghiraukannya. Begitulah detik awal yang dilalui oleh Khalishah Abirah sebelum memasuki jamaah. Apa yang Khalishah Abirah alami sebelum ini merupakan tarbiyyah hati oleh Allah SWT agar Khalishah Abirah tidak melakukan perbuatan yang sama terhadap orang lain. Sebetulnya, mereka yang mempunyai fikrah harus berakhlak mulia dan berkawan dengan semua lapisan masyarakat. Andaikata jamaah hanya selesa berada dalam kelompok mereka sahaja, maka bagaimana dakwah Islamiyyah hendak berkembang? Bagaimana pula dengan nasib para mad’u yang terdiri daripada kalangan orang-orang awam? Apakah harus dibiarkan saja sedangkan merekalah golongan majoriti dalam negara kita?

Khalishah Abirah sangat menginsafi tujuan Allah menciptakannya dan memberi kesempatan terhadap dirinya untuk dihidupkan buat tempoh yang sedetik cuma ini. Kewajipan untuk menegakkan kalimah Allah di menara ilmu adalah suatu misi yang harus disempurnakan. Kesediaan untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyahkan sentiasa ada dalam hati kecilnya yang paling dalam. Khalishah Abirah selesa untuk bekerja dengan sesiapa sahaja dalam jamaah dan tidak bertakalluf dalam menetapkan sesuatu perkara kerana "Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis Riwayat Imam Ahmad). Para pendakwah yang menyebarkan risalah dakwah sebenarnya menyeru manusia seluruhnya supaya mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan tidak sepatutnya melupakan diri sendiri tatkala sibuk berdakwah kepada orang lain!

Benarlah bahawasanya muslimah cerdik yang solehah boleh berdakwah dengan menjadi dirinya sendiri. Khalishah Abirah semakin disenangi oleh rakan-rakannya. Kejayaan dakwah Khalishah Abirah yang luar biasa dan berjaya menarik lebih ramai warga kampus untuk menghayati, mengamalkan dan terlibat secara aktif dalam gerakan Islam telah menginsafkan Hafiyyah dan Raihanah. Mereka mengakui kekhilafan mereka selama ini terhadap Khalishah Abirah. Sikap berburuk sangka sesama muslim bukanlah sifat yang sewajarnya untuk menghiasi jalan dakwah yang sememangnya penuh liku dan cabaran. Hanya dengan kembali kepada Allah wa Rasul-Nya sahaja yang akan menjamin kejayaan serta kebahagiaan hakiki seseorang, “Allah memilih orang yang Dia kehendaki kepada agama tauhid dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya bagi orang yang kembali kepada-Nya,” (Asy-Syura: 13).